Friday, October 11, 2013

Bertenang menerima Takdir

6"Betul ke suami ku ni sudah tidak ada lagi didunia ini....?"

Dalam benak hatiku masih belum 100% mempercayai bahawa suami ku telah pergi meninggalkan kami sekeluarga dengan sekelip mata saja.

Ah...! Selagi aku tidak melihat tubuh sekujurnya selagi itu Aku menganggap dia masih ada. Mana tidaknya kerana Aku dapat rasakan kehadirannya walau ke mana jua Aku berada.

Tidak mungkinlah mereka semua ini boleh bergurau dengan ku tentang hal-hal kematian.  Hampir seminggu berita kematian suamiku terpampang di dada akhbar. Berbagai versi diperlihatkan tentang bagaimana beliau menemui kemalangan tersebut. Bukan setakat di akhbar tempatan malahan di dada akhbar New Zealand pun sebok melaporkan kejadian tersebut kerana tempat kejadian itu sering dikatakan terjadi kemalangan yang meragut nyawa.

" Ah pedulikan semua itu... sekarang ni... mana suamiku? Ya Allah, anggaplah berita ini sebagai gurauan."

Tiba-tiba Aku tersentak apabila disapa oleh pegawai UiTM yang ditugaskan untuk memastikan jenazah suamiku pulang ke Malaysia.

"Puan, pergilah bersiap2, sikit lagi kita akan berangkat ke Kargo penerbangan untuk tuntut mayat Arwah Hj. Kami sedang menyiapkan kenderaan untuk bawa Puan ke sana."

Aku merasa debaran dada ku semakin kencang seraya mengangguk2 mengiyakan dan memberitahu anak-anak untuk bersiap-siap. Mak dan Mak mertua pun dimaklumkan. Sepatutnya jenazah suamiku sampai malam tadi lagi. Tanpa diduga kapal terbang yang sepatutnya membawa jenazah suamiku beserta dengan jenazah seorang lagi pelajar perempuan,  mengalami masalah teknikal dan tidak dapat diterbangkan mengikut jadual.

Hari ini sudah masuk hari yang ke empat suamiku pergi meninggalkan kami. Beliau menemui kemalangan pada 5 zulhijjah 1429 H pukul 3.30 petang waktu jam tempatan dan 8.30 malam pada waktu di New Zealand.Waktu itu arwah suamiku dalam perjalanan pulang ke hotel tempat mereka tinggal waktu berada di sana. Hari itu adalah hari terakhir lawatan sambil belajar di beberapa tempat di New Zealand termasuk Universiti Otago di mana beliau berhasrat untuk menjalinkan hubungan UiTM bersama  universiti tersebut.  Beliau pergi bersama  beberapa pensyarah beliau yang lain dan juga pelajar-pelajarnya. Pada hari akhir lawatan,  beliau dan pelajar- pelajarnya  sempat melawat kawasan peranginan di MATA tempat di mana penggambaran cerita LORD OF THE RING di buat.  Beliau sempat menunaikan hajat atau impian beliau semenjak berada dibangku sekolah lagi, iaitu merendamkan kakinya di salah satu mata air di kawasan tersebut.

Apabila tiba di Kargo lapangan terbang LCCT,  sekali lagi aku melihat ramai yang sudah menunggu jenazah suami ku sampai. Setelah menunaikan fardhu zohor, kami dibawa ke satu tempat di mana terdapat dua buah peti kayu diletakkan dihadapan kami... apa ni? Aku berbisik sendiri. Dada ku berdebar semakin kencang dan deras. Ya Allah, betulke apa yang Aku nak lihat ni.. Suamiku dalam peti?. Anak2 dah berada dikeliling ku sambil berpegangan tangan... Apa bila peti kayu dibuka... Aku hampir tumbang..."Ya Allah, berilah Aku kekuatan. Kalau Aku lemah ketika ini...Anak-anakku pun akan turut lemah." Aku memang mengharap kekuatan jasmani dan mental ketika itu dengan Mu Ya Rabb. Aku masih gagah sambil melihat kotak kayu itu dibuka dan melihat sebuah keranda berada di dalam nya. Sambil menzikirkan al Fatihah serta al Ikhlas, keranda tersebut dibawa masuk van jenazah untuk dibawa semula ke Shah Alam untuk di solatkan sekali lagi oleh ahli kariah beliau di Surau Seksyen 8, Shah Alam ini justru dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Seksyen 21, Shah Alam.

Sebelum sampai di Surau, van jenazah telah membawa kami ke rumah sebentar sebagai syarat beliau keluar dari rumah.

Setibanya di Surau, Aku melihat bersusun kenderaan  di jalan raya menanti jenazah suami ku. Setelah mengambil wudhu dan solat asar,  keranda dibuka untuk solat jenazah. Ketika ia dibuka, Masya Allah, bersihnya muka suamiku, tersenyum sipu saja dan  tiada langsung menampakkan apa-apa kepayahan dan kesakitan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sesungguhnya, aku mengharapkan suamiku mendapat syahid dunia. Sayang, ini bahagian mu... Kali ini baru Aku benar-benar percaya bahawa suamiku memang telah meninggal dunia.

Setelah anak- anak diberi peluang untuk menatap ayah mereka buat kali terakhir, jenazah dibawa ke hadapan untuk di solatkan. Sekali lagi, Aku hampir jatuh pengsan apabila para makmum yang ada disitu menjawab soalan dari Imam.

" Kamu semua telah melihat wajah jenazah Hj Shafiee tadi, adakah arwahnya seorang yang baik ketika hidupnya atau sebaliknya?"

Dengan satu gema yang kuat makmum menjawab..." baik"

Ya Allah, baik sungguh suamiku rupanya di kalangan orang luar selain dari keluarganya,   sememangnya beliau adalah  suami dan ayah yang sangat perihatin pada keluarganya... ya Allah, maafkan Aku, kerana mengabaikan kebaikannya.

Sebaik jenazah disolatkan, aku bergegas masuk semula ke van jenazah untuk membawa kami ke tanah perkuburan.

Sesampai di tanah perkuburan di seksyen 21, liang telah disediakan.. Aku melihat jenazah suamiku disemadikan dengan tenang sambil menzikirkan surah al ikhlas. Ya, disemadikan pada waktu wukuf. Setelah Talkin dibaca, dan selesai pengkebumian, barulah terasa penatnya badan dan kurangnya tenaga untuk meneruskan keesokan harinya... Hari Raya Aidil Adha..
Semoga rohmu dicucuri rahmat... Amiinnn....

No comments:

Post a Comment